Archive Page 2

24
Okt
09

Qailulah Yang Tersirat
http://www.iLuvislam.com
dihantar oleh : pencari_ketenangan
editor : almusafirq8



Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab ‘Misykatul Masabih’ disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi :

“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya.”


Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ telah berkata :

“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.”


Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai satu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.
Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca industri telah mendapati bahawa 92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti.
(Napping News : ‘Scientific Proof Confirms : Napping Enhances Worker Productivity,’ from eFuse)


Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai ‘a midafternoon quiescent phase’ atau ‘a secondary sleep gate’.
Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini adalah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku ‘The Art of Napping at Work’. Demikian juga yang disebutkan oleh David F. Dinges dan Roger J. Broughton di dalam buku mereka ‘Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavior and Medical Aspects of Napping’.

Dr. James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam.
(Gail Benchener: ‘Parents and Sleep Deprivation,’ Family.com)
Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SallAllahu Alaihi Wasallam rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini.

Advertisements
21
Okt
09

Facebook Membunuh Rakyat Palestin?
http://www.iLuvislam.com
Nur Syamimi Mohamad Napis
Editor : Im Koyube


Kini, anak kecil yang dibangku sekolah rendah pun sudah tahu menggunakan perkhidmatan internet, kerana segalanya di hujung jari. Seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun di tanya, “Mengapa guna internet? Adakah sebarang kerja sekolah yang diberi oleh guru yang memerlukan adik untuk menggunakan internet?” Balasnya, “Tidak. Saya nak tengok gambar kakak dan abang saya di luar negara sana.” Ditanya kembali, “Bagaimana?”. Di balas, “Tengok dekat Facebook atau Friendster mereka.” Zaman ini amat mudah. Walau jauh beribu kilometer, jika rindu, hanya sekali klik dan beberapa taipan di papan kunci (keyboard), rindu yang terpalit di hati pasti terubat.

Facebook. Jika ada yang tidak pernah dengar perkataan tersebut, agak mustahil. Tetapi, jika ada yang tidak mempunyai akaun pada laman tersebut, bukanlah suatu yang pelik. Jika dulu, kalau orang bertanya, kenapa diri tak punya akaun Facebook? Mungkin ada yang menjawab, “tak perlu sangat kot.” Tapi kini, jika soalan yang sama di ajukan, ada yang menjawab dengan jawapan yang agak simbolik, “sebab tak nak bunuh orang Palestin!”. Bagi mereka yang tidak tahu hujung pangkal, pastinya pernyataan tersebut akan membawa kepada seribu satu persoalan, yang seharusnya dirungkaikan satu demi satu.

Semua sedia maklum bahawa laman tersebut di asaskan oleh seorang anak muda berbangsa Yahudi-Amerika, iaitu Mark Zuckerberg. Mengupas peribadi beliau, beliau ialah salah seorang pelajar yang pernah menuntut di universiti yang terulung di dunia, iaitu University Harvard. Namun begitu, di atas kesalahan yang yang telah dilakukan oleh beliau, akhirnya, beliau telah meninggalkan zaman pengajian beliau di institut pengajian tersebut.

Apa yang menyebabkan terdapatnya dakwaan yang mengatakan Facebook memberi sumbangan kepada pembunuhan rakyat di Palestin adalah kerana Mark, sebagai CEO, merupakan salah seorang ahli aktif di dalam Alpha Epsilon Pi Fraternity (AEPi). AEPi adalah sebuah persatuan yang di anggotai oleh mereka yang berketurunan Yahudi Amerika Utara. Fungsinya lebih kurang sama seperti persatuan-persatuan biasa lain, dan diantaranya adalah menjaga kebajikan ahli-ahli. Berdasarkan kepada laman AEPi, persatuan ini sering memberi bantuan dari segi kewangan kepada beberapa pertubuhan yang menyokong kepada Israel. Salah sebuahnya adalah American Israel Public Affairs Committee (AIPAC).

AIPAC secara umumnya adalah sebuah jawatankuasa yang membantu Israel supaya sentiasa mendapat sokongan kuat daripada Amerika. Antara kejayaan yang telah dibawa oleh AIPAC termasuklah membuat beberapa resolusi bagi menyokong dan mempertahankan hak Israel dalam menghadapi puak terrorist, yang dinamakan mereka sebagai Hamas dan Hizballah. Sebagaimana kita mempercayai dan meletakkan harapan yang tinggi kepada para remaja/ belia, begitu juga dengan mereka. Pertubuhan ini percaya bahawa kunci kepada kekukuhan hubungan US-Israel pada masa hadapan adalah dengan mendidik para pemimpin belia yang ada hari ini. Justeru itu, mereka mewujudkan ‘AIPAC on Campus’. Program latihan AIPAC (AIPAC’s training program) bekerjasama dengan sekolah-sekolah tinggi (high school), dan pelajar-pelajar universiti (sama ada undergraduate ataupun postgraduate) dalam melatih para pelajar bagaimana untuk mengukuhkan hubungan US-Israel melalui penglibatan di dalam bidang politik. Program ini dinamakan sebagai AIPAC’s Political Leadership Development Program. Pemimpin-pemimpin muda ini juga akan turut dilatih untuk menjadi seorang yang pro-Israel. Disebutkan juga di dalam laman web AEPi, bahawa ramai pemimpin terbaik AEPi bergiat aktif dalam AIPAC di kampus mereka. Melalui penerangan-penerangan diatas, dapat dilihat bahawa terdapat kerjasama di antara AEPi dan AIPAC.

AEPi juga adalah sebuah pertubuhan yang memerlukan komitmen daripada ahli-ahlinya sepanjang hayat. Alumni AEPi adalah antara mereka yang akan memberikan sumbangan kepada pertubuhan ini sama ada dari segi kewangan, mahupun kepakaran. Disebabkan hal ini, ada pihak yang mendakwa bahawa Mark Zuckerberg, sebagai salah seorang alumni AEPi, secara tidak langsung terlibat dalam menyediakan ‘kemudahan’ kepada pihak Israel untuk terus menyerang Palestin.


Jadi, bagaimana pula Facebook boleh menyumbang kepada Israel sedangkan ianya hanyalah sebuah laman yang menawarkan perkhidmatan percuma kepada pengguna yang mahu mendaftar?  Dari mana datangnya sumber kewangan Facebook seperti yang diwar-warkan? Sebagaimana laman web lain yang menyediakan bahagian untuk pengiklanan di laman mereka, begitu juga dengan Facebook. Melalui iklan-iklan tersebut, secara tidak langsung akan menjana pendapatan kepada Facebook. Apabila sesuatu iklan dipaparkan di sebuah laman web, pihak yang  bertanggungjawab mengeluarkan iklan tersebut perlu membuat bayaran diatas ruang yang di’sewa’. Terdapat beberapa sistem yang digunakan sebagai cara bayaran bagi sesebuah iklan di Facebook. Salah satu sistem yang digunakan adalah Pay per click (PCP). Melalui sistem ini, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa iklan berdasarkan bilangan kunjungan yang diterima oleh sesebuah laman, melalui iklan yang di paparkan. Jika banyak kunjungan yang diterima, maka bayaran yang akan diterima oleh pemilik ruang sewa juga akan meningkat. Sistem lain yang digunakan adalah Pay per Impression. Bagi sistem ini pula, pemilik ruang sewa akan dibayar sewa bagi setiap kali iklan dipaparkan di laman mereka. Terdapat laman web yang menggilirkan paparan iklan di laman mereka disebabkan oleh banyaknya mendapat tempahan iklan dengan keadaan ruang sewa yang terhad. Maka, di dalam suatu masa, hanya beberapa iklan sahaja yang akan dipaparkan.

Berdasarkan kedua-dua sistem pengiklanan ini, kedua-duanya akan memberi manfaat kepada pemilik ruang sewa, tambahan pula, jika laman tersebut sentiasa mendapat kunjungan yang ramai daripada para pengguna internet. Ianya dapat dilihat di laman tersebut sendiri. Facebook menawarkan harga pengiklanan serendah US $1 satu hari. Jika satu hari 100 orang pengguna Facebook tertarik dengan iklan yang dipaparkan di Facebook, dan langsung mengambil langkah untuk ke laman web tersebut, maka, akan menyumbanglah dia kepada peningkatan ekonomi Facebook.

Selain itu, Facebook turut menjana ekonomi dengan aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalamnya. Bagi setiap aplikasi yang direka dan dihantar oleh pengguna, Facebook mengenakan bayaran terhadapnya. Bayaran tersebut tertakluk kepada status penghantar aplikasi, seperti golongan pelajar sama ada golongan bekerjaya. Harga yang paling rendah ditawarkan adalah kepada golongan pelajar iaitu sebanyak $175.

Seperti mana laman-laman web yang terdapat di alam maya ini, Facebook juga berhak mendapatkan keuntungan diatas perkhidmatan yang telah mereka berikan kepada masyarakat, terutamanya para penggunanya. Ada sesetengah pihak yang menggunakannya sebagai salah satu cara untuk mengekalkan hubungan dengan kaum keluarga mahupun sahabat handai. Malah, ada juga segelintir yang menjadikannya sebagai medan dakwah. Walaupun sepotong ayat ditulis, jika dicampakkan oleh Allah hidayah ke dalam hati seseorang, tidak mustahil dakwah itu akan menampakkan kesannya, walaupun ada yang mengatakan alasan dakwah itu sebagai yang lapuk.

Orang-orang awam dan pengguna seperti kita, sukar untuk mengetahui kebenaran disebalik dakwaan-dakwaan yang dibuat. Satu demi satu maklumat dicungkil untuk melihat perkaitan Facebook dengan organisasi-organisasi yang terlibat dalam usaha ‘menghilangkan’ Palestin daripada peta dunia. Hakikatnya kita hanyalah pengguna Facebook yang berusaha untuk memanfaatkan kemudahan yang ada. Juga, jika ketika sesi pendaftaran pengguna (user sign up) dilakukan, tertulis disitu ‘Facebook menyokong Zionisme’, adalah suatu yang mustahil pengguna Facebook akan meningkat kepada angka yang ada seperti hari ini.

Hari ini, jika di lihat dan di cari melalui enjin pencari (search engine), banyak dakwaan yang menunjukkan hasil ekonomi yang diperoleh daripada Facebook menyumbang kepada Zionis yang bertapak di Israel.  Antaranya adalah apabila Mark Zuckerberg turut tersenarai sebagai selebriti yang hadir ke perayaan sambutan ke-60 Israel pada tahun 2008. Bagi menentukan kebenarannya, tentu sahaja bukan mudah, kerana seseorang mampu untuk berbuat apa sahaja bagi melindungi diri sendiri. Namun, kita sedar bahawa pokok tidak akan bergoyang jika tiada angin. Apa yang perlu ialah sentiasa berhati-hati. Gunakan Facebook sebaik mungkin. Jika dakwaan mengatakan hanya dengan sekali log in, kita telah menyumbang kepada kekayaan Facebook, maka, kurang kan ‘kemasukan’ kita ke dalam Facebook. Apabila benar-benar terasa ada kepentingannya, barulah log in. Jika terasa tidak bertambah amal dalam diri, elakkan daripada melakukannya. Hal ini adalah kerana, segala perubahan terletak pada diri kita. Masih banyak urusan di luar sana yang perlu kita lakukan, selain untuk selalu log in ke dalam Facebook.

Kata-kata yang dipetik daripada pencarian di internet hari ini, ‘log out and get a life outside there… see the skies!’

Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pengasih. Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu.


Disediakan oleh,
Nur Syamimi Mohamad Napis
Setiausaha Media I iLuvislam.com

20
Okt
09

Rahsia Solat Di Awal Waktu
http://www.iLuvislam.com
Dihantar Oleh: frida*
Editor: b_b

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini. Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.


20
Okt
09

Wanita Solehah Idaman Mujahid
http://www.iLuvislam.com
nurinaqistina
Editor: everjihad
 
 “Indahnya kalammu wanita solehah yang berjuang disisi mujahid soleh….
Seindah-indah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah…”
 
Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”

Wanita solehah idaman mujahid soleh yang malunya menjadi perisai dirinya, yang zikirnya menjadi penawar dirinya; tak gentar di acah mehnah duniawi kerana dia rindukan wangian syurgawi, dia berpegang pada janji yang terpatri di lubuk hati. Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini.
Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh mama dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan, hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata …

 

 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Rum: 21)


Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa a.s, sama seperti mu.

 ”… maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri…” (Ali Imran : 159-160)

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan

kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung. Pendirianku…pernikahanku akan ku jadikan medan pencarian ilmu agama sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini. Aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, suamiku dan anak-anak untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,
 

 

 

” Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya.”
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)



Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan.
 

 

 

“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
(An Nisaa’ : 1) ”

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka”.
(An-Nissa’:34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia. Aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku. Jadikanlah suatu pernikahan itu sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.
Aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, dan hadis-hadis Nabawi kerana aku meyakini bahawa Qalam itu mampu memimpin rumahtanggaku dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Jua tidak ternilai harga maruah diriku untuk dibanding dengan nilai wang ringgit atau nilai duniawi. Selaras jua dengan hadis Nabi, aku mahu jadi wanita yang punya barokah.

 

 

 “Seorang wanita yang penuh barakah dan mendapat anugerah Allah adalah yang maharnya murah, mudah menikahinya, dan akhlaknya baik. Sebaliknya, wanita yang celaka adalah yang mahal maharnya, sulit menikahinya, dan buruk akhlaknya”


Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.
Tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana’ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna’im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. 

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu.::.
 
 

 

20
Okt
09

19 HADITH MENGENAI WANITA
http://www.iLuvislam.com
oleh: firerose


*Jika para pembaca mendapati mana-mana hadis di bawah adalah hadis palsu @ bukan hadis,mohon diperbetulkan di bhgn komen. Terima kasih.

 

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”.

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

 

 

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., “Suaminya”. “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ibunya”.

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”


 

Sekian, Wallahu a’lam.

20
Okt
09

Solat dan Kita
http://www.iluvislam.com
Aman Shah
Editor: arisHa27

Apabila solat itu sendiri tidak dapat menjadi pencegah maksiat kepada diri kita, maka benarlah Roh solat itu sendiri tidak dapat meresapi diri manusia yang mendirikan solat itu.

Seseorang muslim yang mengerjakan solat kebiasaannya menempuh tahap-tahap berikut :

1. Tahap ilmu:

Seorang muslim setelah mengetahui kewajipan solat, kemudian mempelajarinya dengan telilti melalui ilmu Fiqh iaitu syarat wajibnya, sahnya, rukun-rukunnya, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkannya dan sebagainya. Tetapi ilmu mengenainya tidak memadai sekiranya tidak disertai keyakinan dan amal.

Ertinya ilmu hendaklah diselaraskan dan diselarikan dengan hati, akal dan perbuatan kita dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Apabila Allah memerintahkan kita mendirikan solat dan memberitahu kita bahawa kejayaan itu terletak pada solat, maka akal kita tidak boleh ragu dan was-was. Akal mesti mengakuinya. Tetapi bila akal sudah yakin, itu belum cukup. Kita mesti pergi ke tahap yang kedua.

2. Tahap kedua: Menundukkan hati
 
Sekiranya akal kita sudah tahu secara keseluruhan tentang kepentingan solat tapi hati kita masih berat untuk mengerjakannya seolah-olah menganggap solat itu tidak penting. Sebab itu tahap kedua ini dinamakan tahap mujahadah. Iaitu bermujahadah supaya apa yang diselaraskan oleh akal dan ilmu itu juga diakui oleh hati.

Kalau hati sudah tunduk, tandanya apa yang kita buat terasa lazat. Kalau tidak rasa lazat, kalau rasa menderita sahaja, terasa berat untuk mengadap Allah, maka hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh sehinggalah sampai ke peringkat ketiga.

3. Tahap ketiga: Menjadi tabiat dan istiqamah

Maknanya solat itu sudah menjadi amalan dalam hidupnya secara istiqamah. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi. Sebab itu di dalam Islam, para ibubapa hendaklah mengajar anak-anak solat seawal umur tujuh tahun lagi dan anak-anak tadi boleh dipukul ketika umur sepuluh tahun dan ke atas sekiranya mereka cuai dan meninggalkannya.

Tujuannya supaya solat itu menjadi tabiat dan kebiasaannya sehingga ke akhir hayat. Kemungkinan juga saudara/ri terasa berat untuk mengerjakan solat kerana tidak merasai kebesaran dan keindahan solat itu sendiri. Bila membicarakan soal solat ini, kita tidak boleh menganggap bahawa kita sedang surut ke belakang semula. Sebenarnya tidak, kerana solat adalah perkara yang penting.

Kalau hendak dilihat pada kepentingan solat adalah seperti berikut :

Solat merupakan tiang agama:

Jika iman diibaratkan akar tunjang bagi pokok, solat pula ialah batangnya. Kalau hendak mendirikan sebuah rumah, perlu ada tapak dan tiang-tiang serinya. Rumah tidak akan dapat dibangunkan kalau tidak ada tiang serinya. Begitulah Islam, tidak akan dapat dibangunkan jika solat tidak didirikan. Sebab itu dikatakan, solat adalah tiang agama.

Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama. Jadi, sekiranya kita memperumpamakan Islam itu sebagai rumah, maka Islam yang global itu umpama rumah yang serba lengkap. Mempunyai atap,tiang, dinding dan ada segalanya, maka tiang kepada Islam itu adalah solat.

Sekiranya kita hendak membina Islam yang syumul, solat merupakan perkara pertama yang harus kita perkemaskan. Segala kerja kita dalam apa-apa bidang sekalipun sekiranya solat tidak kemas dan dicuaikan, maka kerja-kerja kita itu tidak membuahkan hasil yang baik. Kita sibuk dengan kerja, peranan dan khidmat sedangkan waktu itu kita semakin cuai dengan solat. Ertinya kita tertipu dalam hidup.

Solat merupakan amalan yang mula-mula dihisab di akhirat:

Solat merupakan perkara pertama yang diperiksa di akhirat. Jika solat baik dan sempurna, maka mudahlah pemeriksaan pada amalan-amalan selepasnya. Jika ia baik, baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya, jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

 

“Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi &ldots;..”
(Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).


Mengandungi ikrar setiap hamba:

Di dalam solat ada ikrar yang dilakukan oleh setiap yang mengerjakannya kepada Allah SWT. Solat yang pertama adalah ikrar yang mula-mula sekali dibuat oleh hamba kepada Tuhannya. Solat yang kedua, ketiga dan seterusnya merupakan ikrar pembaharuan sahaja. Inilah kehebatan solat. Kerana sehari semalam ada 5 kali ikrar yang dibuat sebagai taat setia kepada Tuhan.

Ikrar itu jelas di dalam doa iftitah iaitu ketika mengucapkan :

 

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam”

Menggambarkan amalan-amalan para malaikat:

Jumlah malaikat yang terlalu banyak itu beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang asyik sujud, ada pula yang asyik rukuk dan lain-lain. Para malaikat ini kekal dengan satu-satu amalan itu dengan istiqamah. Yang takbir, takbir sahaja. Begitulah yang bertasbih, asyik bertasbih sahaja. Tetapi dalam solat, manusia telah melakukan berbagai-bagai amalan para malaikat. Di sinilah kehebatan manusia berbanding dengan malaikat. Amalan manusia walaupun tidak sebanyak para malaikat tetapi kepelbagaiannya mengatasi amalan malaikat.

Bermacam-macam bentuk ibadah:

Dilihat dari bacaannya sahaja, bacaan solat terdiri daripada pelbagai bentuk yang mengandungi zikir, selawat, ayat Quran, hadis dan lain-lain. Bacaan Fatihah, adalah ayat Quran. Bacaan tahayyat diambil daripada hadis. Dalam solat juga ada tasbih, tahmid dan doa.

Melibat seluruh anggota lahir dan batin:
Solat melibatkan banyak anggota lahir dan batin manusia. Rukun Qalbi, Qauli dan Fi’li telah melibatkan hati, akal dan anggota badan manusia. Rukun Qauli misalnya, melibatkan lidah dan akal. Lidah menyebutnya, akal memahaminya.

 

Iktibar dari Al Quran
http://www.iluvislam.com
Ustaz Nasrudin Tantawi*
Editor:lailatulema


1. Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 September dan 1 Oktober baru – baru ini cukup memilukan .

2. Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar . Musnah harta benda dan binasa segala nyawa .

3. Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha’ dan Qadar Allah swt .

4. Al Quran [ wahyu Allah swt ] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat berguna untuk membimbing ummat manusia agar beriman , bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt .

5. Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 pm [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya [ 1 Oktober ] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .

6. Apabila kita selaraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 = Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 = Surah ke 17 ayat ke 58 ] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52 ]


7. Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa’ sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .


و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا

17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”

كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب

8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”


8. Ayat – ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia .

9. Ayat – ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt . Hari ini mungkin Indonesia , tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila – bila [ wali’yazubillah ] jika maksiat dan mungkar makin membarah .

10. Kami menyeru seluruh rakyat negara ini agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [ zina , pergaulan bebas , pendedahan aurat , judi , arak , rogol , rompak , samun , rasuah , salah guna kuasa , zalim dan 1001 perkara mungkar ] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt .


*Ustaz aktif menulis di blog beliau, http://episodeperjuangan.blogspot.com/

14
Okt
09

Islamic Widget